About Me

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (lahir 18 Januari 1960) merupakan seorang Menteri Kabinet dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Beliau juga merupakan ahli Parlimen Bera dari UMNO, Barisan Nasional. Beliau berkahwin dengan Datin Muhaini Zainal Abidin pada 1986.

Pendidikan

Ismail Sabri memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Bangau pada tahun 1967. Kemudian, beliau meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan pada 1973 dan Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang pada 1976. Beliau kemudiannya belajar tingkatan enam di Jaya Akademik seterusnya menyambung pelajaran di Fakulti Undang-undang Universiti Malaya pada tahun 1980.

Kerjaya

Beliau telah memulakan kerjayanya mulai pada tahun 1985 sebagai seorang peguam. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh pada 1987 dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada 1996. Pada tahun 1995, beliau dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik. Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) pada tahun 1995 juga Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia pada tahun yang sama. beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 9 April 2009.

Politik

Pada tahun 1987, beliau dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Temerloh. Kemudian, pada tahun 1988, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh. Pada tahun 1993, beliau dipiih pula sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian (2001) dan menjadi Ketua UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 2004. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2008, Ismail Sabri Bin Yaakob bertanding menggunakan tiket Barisan Nasional. Beliau telah bertanding di kawasan parlimen Bera, negeri Pahang. Ismail Sabri Bin Yaakob telah menang dengan mendapat undi sebanyak 18051. Calon lawan ialah Mazlan Aliman dari PAS mendapat 14,230 undi – Kalah. Peratus pengundi yang keluar ialah 76%. Undi rosak sebanyak 783.