Category: Uncategorized

KERAJAAN PH HENTIKAN PROJEK MRT2, APA NASIB LEBIH 20 RIBU PEKERJA?

HENTIKAN PROJEK MRT 2 , KERAJAAN PH ZALIMI HAK LEBIH 20 RIBU PEKERJA.

ASSALAMUALAIKUM WBT

10 Oktober 2018 / 1 Safar 1440 H

Tulisan terakhir saya minggu lepas berkaitan kesan langsung kepada rakyat dan usahawan bumiputra jika 4,000 projek-projek kecil untuk rakyat dibatalkan.Akhir ini kita dikejutkan lagi dengan pengumuman kerajaan menghentikan Projek MRT 2 yang melibatkan 20 ribu pekerja dibawah MMC GAMUDA.

Ini bukannya kali pertama tindakan kerajaan yang menyebabkan rakyat kehilangan pekerjaan tetapi sebelum ini pembatalan Projek ECRL, Kuala Lumpur – Singapore Highspeed Rail dan lain-lain juga menyebabkan puluhan ribuan rakyat hilang pekerjaan.

Nampaknya manifesto Kerajaan PH untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan sebenarnya telah bertukar menjadi pemberhentian 1 juta pekerja.

Dlm keadaan sukar masa kini, kehilangan pekerjaan dalam situasi kos sara hidup meningkat dan tidak lama lagi para ibubapa akan menghadapi musim persekolahan baru untuk tahun 2019 dan sudah tentu sahaja ianya bakal menambahkan penderitaan rakyat.

Alasan kerajaan akan melakukan Re-Tender dan mereka mungkin akan diambil semula oleh syarikat baru tidak dapat diterima.

Kita tidak tahu bilakah proses tender semula itu akan selesai dengan perlantikan syarikat baru tersebut.Dalam jangkamasa itu apakah 20,000 pekerja ini akan mempunyai pendapatan?? Apakah kerajaan akan membayar pampasan? Jika berlaku pengambil-alihan oleh syarikat baru sekali pun apakah jaminan kerajaan bahawa syarikat baru itu akan menyerap semula keseluruhan lebih 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan ini?

Perlu diingatkan bahawa 60% daripada 20,000 pekerja tersebut terdiri dari pekerja bumiputera.Malah antaranya terdiri dari golongan professional rakyat Malaysia.Lebih malang lagi terdapat 600 syarikat yang menjadi pembekal, sub kontraktor dan lain-lain yang terlibat dengan projek tersebut bakal berdepan situasi sama dengan memberhentikan pekerja-pekerja mereka dan syarikat mungkin akan gulung tikar.

Kerajaan tidak seharusnya berpendirian dangkal oleh kerana MMC GAMUDA dilantik oleh Kerajaan BN terdahulu maka kontrak mereka perlu dibatalkan.Perlu diingatkan bahawa MMC GAMUDA telah dilantik melalui tender terbuka antarabangsa yang terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat dari negara China, Korea dan Jepun..

Untuk makluman , pemegang-pemegang saham dalam Syarikat MMC GAMUDA terdiri dari Lembaga Tabung Haji (TH),Amanahraya Trustees Berhad,Kumpulan Wang Persaraan (KWAP),Permodalan Nasional Berhad(PNB) dan lain-lain yang kesemuanya merupakan institusi-Institusi yang akan memberikan pulangan keuntungan kepada rakyat melalui paratus keuntungan dari Projek MRT 2 ini.

Difahamkan Projek MRT 2 ini telah siap 40% pembinaannya.Jadi keputusan kerajaan memberhentikan projek ini juga mengundang tindakan saman untuk ganti rugi serta pampasan lain akibat penamatan kontrak tersebut.Tindakan mahkamah mungkin akan mengganggu proses perlantikan syarikat baru untuk menyambung projek tersebut.

Jika ini berlaku maka kerajaan akan lebih menanggung kerugian.Kelewatan perlantikan syarikat baru tentu akan melewatkan 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan mereka.Yang pasti 20,000 pekerja ini akan terus menderita dengan tindakan Kerajaan PH yang tidak mengambil kira hak dan kebajikan rakyat.

ISMAIL SABRI YAAKOB

NAIB PRESIDEN

UMNO MALAYSIA

Categories: Uncategorized

LGE BATAL 4000 PEMBANGUNAN UNTUK RAKYAT?

4000 PROJEK BATAL. KERAJAAN PH ABAIKAN KEPERLUAN PEMBANGUNAN RAKYAT.?

ASSALAMUALAIKUM WBT

4 Oktober 2018 / 23 Muharram 1440H

Saya terkejut bila membaca satu laporan akhbar bertarikh 2hb Okt 2018(Utusan) bahawa 4000 projek-projek yang telah diluluskan Kerajaan BN terdahulu dibatalkan dengan pelbagai alasan dari Menteri Kewangan.

Jika projek-projek Mega atau ratusan juta kos dibatalkan saya tidak ada halangan tapi ini melibatkan projek-projek untuk rakyat dan orang kampung luar bandar. Projek-projek ini berskala kecil dan menjadi keperluan untuk meneruskan projek ini bila rakyat menunggu dan mengharapkannya setelah sekian lama seperti jalan kampung, pembaikan surau dan masjid atau juga jalan-jalan antara kampung yang banyak membantu kepada perhubungan dan pembangunan kampung di luar bandar.

Saya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang sudah 2 kali mengingatkan kerajaan supaya meneruskan projek-projek tersebut di dalam Parlimen. Sewaktu berucap ketika Menteri KPLB dan Menteri Ekonomi menggulung ucapan Kementerian mereka. Janji Menteri Ekonomi adalah surat edaran dari Kementerian Kewangan hanyalah untuk menangguhkan projek manakala Menteri KPLB memaklumkan projek kepentingan rakyat dibawah KPLB akan diteruskan.

Dalam pengetahuan saya sebagai Bekas Menteri, proses tender berlaku dengan teliti kerana jawatankuasa tender terdiri dari pegawai kerajaan seperti KSU atau TKSU, Jabatan Kerjaraya, Pegawai dari Kementerian Kewangan dan wakil dari kementerian yang berkepentingan tanpa campurtangan politik. Walaubagaimana pun jika kerajaan hari ini menyatakan bahawa pemilihan kontraktor atau syarikat-syarikat ini melalui politik maka Kerajaan PH boleh saja mengkaji semula tetapi bukan dengan membatalkan projek yang akhirnya menjejaskan rakyat dan usahawan.

Saya melihat kesannya kepada rakyat dan juga usahawan kecil seperti pemilik lesen kelas F ini. Ini merupakan usahawan kecil yang harus kerajaan bantu. Ini kerana mengikut edaran Kementerian Kewangan bahawa sesetengah projek yang telah berjalan tetapi dibawah 15% kemajuan juga akan dibatalkan. Ia bakal memberikan kesan kepada usahawan tersebut dan yang lebih besar kepada rakyat.

Saya juga amat kesal bila mendapat tahu projek seperti pembinaan Masjid juga dibatalkan dan dihentikan.

Apakah LGE sedikit pun tidak sensitif dengan kapasiti beliau sebagai non muslim. Pembinaan masjid merupakan keperluan kepada penduduk setempat yang sekian lama menunggu untuk ada sebuah masjid dalam kawasan mereka dan tiba-tiba dibatalkan. Apakah LGE sedikit pun tidak rasa sensetiviti orang melayu dan Islam ini apabila pembinaan masjid mereka dibatalkan oleh kerajaan yang mereka pilih sebelum ini?

LGE tidak sepatutnya menyamakan pembangunan fizikal lain dengan pembinaan masjid. Ia merupakan perkara sensitif umat islam.

Retorik LGE jelas apabila kononnya berhenti dalam sidang media apabila mendengar azan tetapi dibelakang rakyat beliau membatalkan pembinaan masjid.

Pesanan saya ialah supaya Kerajaan PH tidak terlalu bermain politik dalam konteks keperluan pembangunan yang melibatkan rakyat dan jangan hanya melihat sudut politik kepartian yang akhirnya boleh merugikan banyak pihak. Rakyat luar bandar menunggu dan menanti walau sebuah jalan kampung, air bersih dan pembangunan lain yang dapat mereka rasa nikmat dari sebuah negara yang makmur tanpa perlu dipolitikkan.

ISMAIL SABRI YAAKOB

NAIB PRESIDEN

UMNO MALAYSIA

Categories: Uncategorized

UMNO ATAU PH YANG AKAN MENUJU KEHANCURAN??

UMNO ATAU PH AKAN MENUJU KEHANCURAN???

ASSALAMUALAIKUM WBT
27 SEPT 2018 / 17 MUHARRAM 1440H

Sebagai sebuah parti terbesar UMNO tidak akan “collapsed” atau runtuh seperti dakwaan Mahathir kecuali ianya diharamkan seperti tahun 1987 dulu.

Walaupun BN kecundang dalam PRU-14 tetapi UMNO masih memenangi 54 kerusi parlimen menjadikan kerusi terbanyak yang dimenangi oleh 1 parti. Sejarah telah memperlihatkan bahawa pencapaian tertinggi parti-parti yang bergelar pembangkang kepada Kerajaan BN sebelum ini seperti PKR dengan pencapaian tertinggi 31 kerusi parlimen, DAP 38 kerusi parlimen dan PAS 23 kerusi dalam posisi sebagai pembangkang. Tetapi UMNO sebagai pembangkang dengan jumlah 54 kerusi selepas PRU14 walaupun sehingga hari ini tinggal 49 kerusi tapi masih satu parti terbesar dalam parlimen.

Kegagalan BN disebabkan kegagalan komponen di dalam BN menyumbangkan kerusi.Malah 46% dari pengundi melayu masih memberikan kepercayaan kepada UMNO dengan memperolehi undi melayu terbanyak berbanding dengan PPBM yaitu 20% malah PKR hanya mendapat 10% dari undi Melayu.

Ini jelas bahawa orang melayu masih mempercayai UMNO.Saya cukup yakin dengan kepimpinan baru ini, halatuju baru serta semangat baru UMNO dari peringkat tertinggi hingga ke cawangan akan bangkit kembali.

Lebih-lebih lagi orang melayu sudah mula meragui kemampuan kerajaan hari ini menjaga kepentingan dan hak orang melayu dan islam.

Beberapa keputusan Kerajaan PH jelas menjejaskan kepentingan orang melayu dan islam.Kegagalan Kerajaan PH di dalam menjaga ekonomi masyarakat melayu luar bandar akan memperkukuhkan kepercayaan bahawa UMNO sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan hidup mereka.Jadi tidak ada sebab kenapa UMNO akan berkubur.

Kegagalan Kerajaan PH menunaikan manifesto 100 hari sangat mengecewakan rakyat dan banyak pihak yang mengundi mereka atas harapan akan tertunai impian yang mereka janjikan.

Sehingga hari ini kerajaan masih berdolak-dalih dengan janji mereka malah dengan kenyataan-kenyataan lucu dari Menteri-menteri mereka menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan hari ini.

Rakyat sedang membandingkan polisi-polisi Kerajaan BN yang lepas yang sangat mesra rakyat berpendapatan rendah.Mereka sudah merasai kehilangan sentuhan UMNO dan mahu UMNO kembali.Jadi siapakah yang akan runtuh??

ISMAIL SABRI YAAKOB
NAIB PRESIDEN
UMNO MALAYSIA

Categories: Uncategorized

TUTUP PUSAT TAHFIZ BUKTI KERAJAAN PH SEKAT PERKEMBANGAN ISLAM

TUTUP PUSAT TAHFIZ JELASKAN PENDIRIAN KERAJAAN PH TERHADAP PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN PERKEMBANGAN AGAMA ISLAM DI MALAYSIA.

ASSALAMUALAIKUM WBT
26 September 2018 / 16 Muharram 1440H

Keputusan Menteri Wilayah untuk menutup semua Pusat Tahfiz yang tidak berdaftar adalah sangat mengecewakan dan menunjukkan sikap berlepas tangan dari tangggungjawab sebuah kerajaan pemerintah.

Memang benar banyak Pusat Tahfiz yang tidak berdaftar di dalam keadaan yang uzur dan kadang-kadang keadaan persekitaran boleh merbahayakan pelajar dan Anak Tahfiz.

Walaubagaimana pun Kementerian Wilayah tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan dan arahan penutupan kepada pusat-pusat tahfiz ini.

Sepatutnya Kementerian Wilayah membantu dan mengambil langkah menaiktaraf dan mendaftarkan pusat-pusat tahfiz tersebut.

Sewaktu Kerajaan BN. Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 50 juta untuk membaik pulih dan menaiktaraf 721 pusat-pusat tahfiz(akhir 2017) yang tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan & memberikan keselesaan suasana dan persekitaran pembelajaran kepada pelajar-pelajar tahfiz.Sebanyak 442 buah telah selesai diselenggara dan dinaiktaraf pada Mei 2018.

Dari jumlah keseluruhan itu Kerajaan BN ketika itu mengenalpasti ada pusat tahfiz tidak perlu dibaiki kerana berkeadaan baik dan sesetengah pusat tahfiz tidak mahu menerima peruntukan kerana perbedaan fahaman politik. Tapi kita terus menghulurkan bantuan dalam bentuk berlainan. Sejumlah 612 pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan ketika itu diberikan peruntukan pendawaian semula semua bangunan mereka yang melebih masa yang telah ditetapkan oleh Pihak Bomba dan telah siap juga pada Mei 2018.

Selain itu,bagi menjamin masa depan mereka Kerajaan BN telah memperuntukkan RM 40 juta untuk memberikan latihan teknikal & vokasional kepada pelajar-pelajar ini supaya selepas tamat pembelajaran mereka bukan sahaja bergelar hufaz tapi mahir di dalam bidang TVET.

Kerajaan BN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang di Pengerusikan oleh TPM untuk menyelaras dan menyelesaikan semua isu yang melibatkan pusat tahfiz terutamanya di dalam menyediakan sillibus matapelajaran supaya membolehkan mereka mengikuti pelajaran formal dan mengambil peperiksaan formal seperti pelajar-pelajar lain dialiran Pendidikan Kebangsaan.

Begitulah prihatin Kerajaan BN ketika itu di dalam menjaga kepentingan Pendidikan Islam.
Tapi malangnya Kerajaan PH hari ini tidak langsung menunjukkan kesungguhan dan minat mereka untuk menjaga Institusi Islam ini berbanding seawal mendapat mandat kerajaan baru melalui Menteri Pendidikan PH mengistiharkan bahawa Sekolah Menengah Persendirian Cina – SMPC layak mendapat peruntukan dari kerajaan walaupun SMPC ini tidak pernah berdaftar dibawah Kementerian Pendidikan kerana enggan menggunapakai polisi dan dasar pendidikan negara. Tidak cukup dengan itu Kerajaan PH bertindak kejam dengan menutup pusat-pusat tahfiz pula.

Tindakan ini boleh dianggap menyekat hak asasi individu untuk mendapatkan hak asasi asas setiap manusia iaitu hak untuk mendapatkan pendidikan.Tindakan ini jelas menunjukkan Kerajaan PH gagal untuk menjaga kepentingan umat islam di negara yang agama rasminya adalah Islam.

Saya berharap para agamawan serta pendidik tanpa mengira kaum dan ugama untuk bersama-sama mempertahankan institusi pendidikan Islam ini. Ini bukan isu politik kepartian. Ini bukan soal ugama semata tetapi lebih kepada soal hak mendapat pendidikan kepada rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga berkaitan kebajikan anak-anak tahfiz yang akan kehilangan tempat pembelajaran mereka.

ISMAIL SABRI YAAKOB
NAIB PRESIDEN
UMNO MALAYSIA

Categories: Uncategorized

MCA JANGAN UGUT UMNO. HORMATI KONSENSUS BN.

MCA JANGAN UGUT BN DAN JANGAN HINA UMNO. HORMATI KONSESUS DALAM BEKERJASAMA.

ASSALAMUALAIKUM WBT
24 SEPT 2018 / 14 Muharram 1440H

Terbaca satu kenyataan dari Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkaitan kerjasama antara UMNO-PAS dan seolah memberikan kata dua kepada UMNO.

Bagi saya MCA tiada kuasa untuk menyingkir Umno daripada Barisan Nasional (BN) kerana semua keputusan dalam gabungan itu dibuat secara bersama.

MCA juga tidak wajar membuat kenyataan kepada media tentang menyingkir parti Melayu terbesar itu daripada BN.

Dia tak ada kuasa sendiri dan MCA perlu sedar dia juga tak mampu untuk tarik kaum Cina menyokong kita…hanya 2.5% pengundi Cina menyokong BN sewaktu pilihan raya umum.

Sebaliknya MCA harus melihat manfaat daripada kerjasama UMNO-PAS.

Banyak kerusi MCA bergantung pada kerusi Melayu. PAS boleh memperkukuhkan penguasaan pengundi Melayu, MCA yang akan mendapat faedah dan Umno sedar tiada kerusi majoriti pengundi Cina yang selamat untuk MCA.

Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang memberi amaran Barisan Nasional akan dibubarkan atau Umno disingkir daripada gabungan itu jika parti Melayu itu bergerak ke arah politik teokrasi amat keterlaluan.

Umno tidak pernah belasah MCA apabila gagal dalam PRU lalu. Tiba-tiba nak jadi abang long pula suruh orang keluar, ‘who are you’?”

Suka untuk saya menasihatkan MCA supaya membangkitkan sebarang permasalahan menerusi Barisan Nasional. Kita nak terima parti atau nak suruh parti keluar mesti secara konsensus.

Jadi saya harap usah mengeruhkan hubungan antara parti komponen. Kalau MCA rasa masih bersama BN, jaga perasaan parti kawan.

MCA perlu sedar bahawa BN merupakan parti multiracial… UMNO memperjuangkan kepentingan melayu.. MCA memperjuangkan kepentingan cina dan MIC memperjuangkan untung nasib bangsa india.. Setiap parti berjuang dalam ruang lingkup parti masing2 yang akhirnya memberi faedah kepada semua parti di dalam BN

Liow sepatutnya faham struktur BN. Kerjasama antara UMNO dengan PAS tidak akan mengubah struktur BN.

Yang menghairankan saya kenapa MIC tidak menolak kerjasama ini malah sewaktu PRK Seri Setia, MIC berkempen membantu CALUN PAS malah Presiden MIC Tan Sri Vigneswaran mengetuai delegasi MIC bertemu kepimpinan PAS.Saya cukup yakin bahawa Presiden MIC melihat kelebihan dan manfaat dari kerjasama kedua parti melayu ini kepada politik MIC.

Malah sehingga kini tdk ada perbincangan rasmi antara UMNO & PAS mengenai kerjasama seterusnya selepas PRK baru-baru ini.

Jadi MCA tidak perlu melatah.Saya harap Liow buang sikap ego untuk mengugut rakankongsi dalam BN.

Walaupun UMNO parti besar dan kerusi yang dimenangi pun jauh lebih besar tapi UMNO tidak pernah sombong untuk mengugut rakan-rakan kongsi supaya keluar.

Saya harap Liow faham budaya dan peraturan BN. Medan terbaik untuk perbincangan ialah Mesyuarat Badan Tertinggi BN.

ISMAIL SABRI YAAKOB
NAIB PRESIDEN
UMNO MALAYSIA

Categories: Uncategorized

KERJASAMA UMNO-PAS MIMPI NGERI PH???

TAHALUF SIYASI PAS UMNO KERISAUAN BUAT PH

ASSALAMUALAIKUM WBT.

Alhamdulillah,Saya Berkesempatan hadir bersama Presiden UMNO dan Kepimpinan Tertinggi UMNO yang lain buat pertama kalinya secara peribadi berada dalam Muktamar Tahunan Pas 2018.Inilah politik yang sentiasa diluar jangkaan kita.Hadir bersama dalam mesyuarat terbesar mereka(PAS) merupakan satu peluang dan pengalaman yang tidak dapat saya gambarkan rasa syukur dan gembira dengan situasi ini.

Ucapan Presiden PAS kepada seluruh hadirin yang hadir meyakinkan saya bahawa kerjasama atau Tahaluf Siyasi PAS-UMNO merupakan kerjasama ummah yang terbesar dalam mengangkat martabat Agama Islam dan Menjulang Bangsa Melayu sebagai Bangsa Majoriti Di Malaysia.Keputusan ini satu keputusan yang dinantikan oleh umat Islam dan Bangsa Melayu di negara ini.

Rakyat dengan jelas boleh melihat bahawa Kerajaan PH hari ini merupakan sebuah kerajaan yang meminggirkan Islam dan kepentingan orang Melayu.

Kerajaan PH lebih terbuka mengiktiraf golongan LGBT.Rakyat boleh melihat bagaimana keterlibatan secara jelas pemimpin-pemimpin PH dalam menyokong fahaman Syiah yang selama ini kita tentang.Tidak cukup dengan itu satu hukum yang jelas dalam Al Quran berkaitan hukuman sebatan syariah yang telah dilakukan di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu menjadi pertikaian terbuka dan mendapat tentangan dari seluruh kepimpinan Kerajaan PH.Ini soal hukum Islam.Penentangan ini bukan sahaja penentangan kepada hukum syariah itu sendiri tetapi merupakan penentangan kepada hak dan kuasa negeri yang sudah pasti hal yang berkaitan syariah dalam sesebuah negeri berada dibawah kelolaan Sultan Negeri.Apakah Kerajaan PH cuba menyampaikan “message” bahawa mereka tidak peduli akan Kuasa atau Peranan Sultan?

Saya melihat Dasar Kerajaan PH hari ini juga tidak mesra terhadap Usahawan Melayu bila ada cadangan untuk menarik balik geran usahawan melayu melalui Kementerian Pembangunan Usahawan.Apakah nasib yang bakal menimpa usahawan melayu?

Justeru itu,Saya menaruh kepercayaan dan keyakinan yang amat tinggi dari kerjasama UMNO-PAS ini kerana angka pada PRU 14 jelas menunjukkan 70% undi orang melayu diberikan kepada UMNO dan PAS dengan pecahan 46% kepada UMNO dan 24% kepada PAS dan kerjasama ini sudah pasti bakal membuka satu harapan bahawa Pembangkang akan menguasai semula kerajaan.

Dengan hampir 60% umat Islam di negara ini manakala 70% melayu/bumiputera tidak seharusnya kita semua diperintah oleh kaum minoriti melalui proksi dan boneka mereka.Ini negara Islam yang seharusnya di perintah secara mutlak oleh orang Islam yang tidak memperjudikan Islam..Ini Negara Melayu yang seharusnya tidak dihina Bangsa Melayu itu.Semua penghinaan ini berlaku kerana Melayu Islam telah berpecah kepada beberapa parti-parti politik dari perancangan golongan minoriti yang mahukan negara kita untuk kepentingan agenda mereka dan agama mereka.

Sudah sampai masanya Islam dan Melayu bersatu demi Malaysia yang tercinta.Kerjasama UMNO-PAS tepat pada masa dan waktunya.Penyatuan ummah ini bakal mengembalikan kekuatan Islam dan Melayu.Inisiatif UMNO-PAS ini diharapkan bakal membuka mata umat Melayu/Islam dengan mengetepikan ego masing-masing bagi menyertai kesepakatan UMNO-PAS ini.Tiada guna kita mendabik dada sebagai penduduk majoriti tetapi kuasa berada ditangan orang lain.

Jangan ulangi sejarah Negara Fiji yang mana kaum peribumi berpecah sehinggakan kehilangan kuasa dan negara dikuasai oleh kaum minoriti.

Tugas kami kepimpinan UMNO pula akan diteruskan dengan Persidangan Agung UMNO Tahunan yang akan datang pada hujung bulan ini untuk terus memperkemaskan apa yang telah PAS mulakan dengan ahli mereka supaya tidak timbul lagi bisik-bisik ahli dibawah untuk kita bersama secara jelas dan nyata.Saya cukup yakin bahawa ahli UMNO terbuka dan boleh menerima kerjasama ini.

Dengan adanya persidangan hujung bulan ini kita akan memperlumatkan lagi perbincangan dalaman parti seterusnya dibawa ke meja rundingan dari masa ke masa untuk bertahaluf siyasi secara baik dan sempurna.

Akhirnya saya mahu pengucapkan tahniah dan syabas kepada perwakilan PAS yang terbuka untuk kerjasama dengan UMNO demi mengembalikan kuasa Islam Melayu di bumi tercinta ini.Secara peribadi saya yakin dan percaya perwakilan UMNO juga akan mengambil dan melakukan sikap yang sama dalam perhimpunan yang akan datang demi kepentingan Agama Islam dan umat Melayu/Bumiputera.Insya Allah…

Ismail Sabri Yaakob

Naib Presiden UMNO

Categories: Uncategorized