KENYATAAN MEDIA DATO SRI ISMAIL SABRI YAAKOB -UMNO SELANGOR

*KENYATAAN MEDIA OLEH YB DATO SERI ISMAIL SABRI YAAKOB, NAIB PRESIDEN UMNO BERKAITAN KEPIMPINAN UMNO SELANGOR*

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua Ketua Pengarang dan wakil-wakil media.

Sebagaimana yang telah dimaklumi, saya telah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor bagi tempoh sementara dalam usaha untuk meningkatkan prestasi Umno Selangor.

Setelah hampir setahun mengemudi UMNO Selangor, prestasi UMNO Selangor telah dapat dipertingkatkan. Kejayaan terbesar adalah kemenangan Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihanraya Kecil (PRK) DUN itu pada 2 Mac 2019 lalu.

Sehubungan itu, saya merasakan UMNO Selangor sudah boleh dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO dari Negeri itu sendiri yang mempunyai kemampuan untuk meneruskan kebangkitan UMNO di Selangor.

Justeru, saya telah memanggil Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 05 April 2019, yang melibatkan Ketua-Ketua Bahagian serta Ketua-Ketua Sayap dan telah mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor berkuatkuasa pada 01 Mei 2019.

Sementara mendapatkan calon pengerusi yang baru, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan memangku tugas Pengerusi.

Dalam tempoh tersebut, saya juga telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua sayap parti untuk mendapatkan pandangan mereka.

Sehingga kini beberapa Ketua Bahagian telah menyatakan minat untuk mengisi jawatan tersebut. Mereka adalah pemimpin yang berkebolehan dan berwibawa untuk menerajui UMNO Selangor.

Saya akan berbincang dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Dato Seri Utama Mohamad Hasan untuk memutuskan nama Pengerusi Perhuhungan UMNO Selangor.

InsyaAllah nama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dijangka akan diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Sekian. Salam Ramadan Al Mubarak dan Salam Aidilfitri yang akan menjelang.

Terima kasih.

*DATO SERI ISMAIL SABRI YAAKOB*
*NAIB PRESIDEN UMNO*
*18 MEI 2019*

Categories: Politic