LAPORAN PAC BUKTIKAN LIM GUAN ENG BERBOHONG DALAM PARLIMEN

*LAPORAN PAC BUKTIKAN LIM GUAN ENG BERBOHONG DI DALAM DEWAN RAKYAT*

Assalamualaikum WBT

14 Zhulkaedah 1440H/17 Julai 2019

*ISMAIL SABRI YAAKOB*

*KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA*

*Naib Presiden UMNO*

Blok Pembangkang melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan keputusan Speaker yang tidak membenarkan usul yang saya bawa untuk merujuk Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas tuduhan merompak dan mengelirukan Dewan Rakyat.

Speaker cuba mempertahankan Lim Guan Eng dan seolah-olah mempertahankan tuduhan yang mengatakan duit GST dirompak oleh kerajaan yang lepas. Lim Guan Eng seolah-olah mempunyai kekebalan di dalam parlimen. Jika di pihak pembangkang menyebut perkataan pondan pun dihalau keluar. Malah ahli parlimen Pasir Salak yang menegur menteri kerana lari daripada menjawab soalan, beliau digantung 4 hari namun Lim Guan Eng dilepaskan begitu sahaja walaupun berbohong di dalam dewan berdasarkan peraturan 36(12), mengeluarkan perkataan tidak sopan yang menyalahi peraturan 36(4) & peraturan 36(6) iaitu sangkaan jahat terhadap Datuk Seri Najib selaku ahli dewan. Namun Lim Guan Eng mendapat perlindungan sepenuhnya dari Speaker.

Tuduhan merompak ini adalah tuduhan jenayah dan ia sangat serius terhadap Barisan Nasional (BN).

Laporan PAC dengan jelas mengatakan tiada wang tuntutan balik bayaran GST yang hilang sebanyak RM19.4 Bilion sebaliknya ia berada didalam Akaun Yang Disatukan. Didalam Akta GST, Menteri Kewangan mempunyai kuasa terhadap urusan wang GST.

Jika meletakkan wang tuntutan GST di dalam akaun disatukan merupakan kesilapan prosedur, ianya tidak boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah. PAC telah membuktikan bahawa perkara itu tidak benar. Tiada kehilangan wang dan wang ini disatukan.

Tiada rompakan serta tiada bukti yang dituduh oleh Menteri Kewangan tersebut dan tuduhan itu adalah tidak benar.

Sehingga ke hari ini Lim Guan Eng masih berdegil mempertahankan tuduhan merompak wang GST terhadap kerajaan BN.

Lim Guan Eng sepatutnya menarik balik tuduhan rompakan tersebut dan memohon maaf terhadap kerajaan BN.

Lim Guan Eng tidak sepatutnya menggunakan Dewan Rakyat sebagai tempat membuat tuduhan jenayah palsu dan berbohong dengan niat mengelirukan Dewan Rakyat.

Pembohongan sebegini tidak patut berlaku di Dewan Rakyat dan rakyat bukanlah alat untuk diperkotak katikkan sewenang-wenangnya dengan membuat tuduhan jenayah palsu terhadap kerajaan BN. Pihak pembangkang tidak akan membiarkan Lim Guan Eng terlepas begitu sahaja. Saya telah menghantar usul kepada Speaker supaya laporan PAC dibahaskan di dalam parlimen. Kita tetap akan dedahkan penipuan dan pembohongan serta niat jahat menghina BN dengan menuduh kerajaan BN merompak wang bayaran balik GST walaupun semuanya fitnah dan telah dibuktikan di dalam laporan siasatan PAC. Malah saya akan mengemukakan usul untuk membantah keputusan Speaker.

*DSIS*

Categories: Politic