LTTE : JANGAN ADA CAMPURTANGAN POLITIK


*LTTE: JANGAN ADA CAMPUR TANGAN POLITIK*

_*Assalamualaikum WBT*_

_*12 Safar 1441H/11 Oktober 2019*_

*ISMAIL SABRI YAAKOB*

*KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA*

*NAIB PRESIDEN UMNO*

Tahniah di atas kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat tangkapan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) termasuk dua ADUN DAP.

Isu ini merupakan isu yang serius kerana mampu mengancam keselamatan negara.

Kerajaan Malaysia dan dunia maklum LTTE diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas dan telah diharamkan di Sri Lanka.

Perlu diingat asas perjuangan LTTE yang diasaskan oleh Vellupillai Prabhakaran pada tahun 1976 ialah bagi menuntut kerajaan Sri Lanka memberi autonomi di wilayah timur laut negara itu, atau sebuah negara merdeka bagi orang Tamil.

LTTE melancarkan serangan gerila dan membunuh ramai orang awam yang tidak berdosa serta merosakkan harta benda awam dalam memperjuangkan tuntutannya. Dalam erti kata lain, mereka mahukan sebuah negara untuk orang Tamil di dalam sebuah negara merdeka serta menentang kerajaan Sinhala di Colombo.

Maka hari ini Malaysia tidak sepatutnya dijadikan pusat untuk LTTE meneruskan operasi mereka.

_Dalam hubungan ini, kami Pembangkang melahirkan rasa kesal dengan tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang dilihat mencampuri urusan polis dengan kenyataan beliau bahawa (kononnya) polis berjanji tidak ada lagi tangkapan terhadap pemimpin DAP._

Kita berharap polis tidak tunduk kepada tekanan politik. Siasatan dan tangkapan mesti diteruskan termasuk terhadap mereka yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan.

Pembangkang turut kesal dengan kenyataan menyamakan perjuangan LTTE dengan perjuangan rakyat Palestin kerana perjuangan membebaskan bumi Palestin adalah untuk mendapatkan kembali negara mereka yang dirampas.

Justeru, janganlah jadikan Palestin sebagai asas untuk menyokong pertubuhan pengganas LTTE.

Jika pemimpin DAP mengatakan kerjasama UMNO-PAS akan membentuk kerajaan Taliban, nampaknya DAP yang menyokong LTTE suatu gerakan yang diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas amat jelas sesuatu yang terang-terang tidak diterima masyarakat dunia.

Pembangkang berharap isu LTTE ini tidak dilihat sebagai isu kaum tetapi lebih kepada isu keselamatan negara sama seperti isu ISIS dan lain-lain.

Kami juga berharap agar Peguam Negara membuat keputusan yang adil dan profesional apabila menerima kertas siasatan dari pihak polis untuk tindakan pendakwaan seterusnya.

_*DSIS*_

Categories: Politic