RAKYAT MAHU KEADILAN UNTUK ADIB

*RAKYAT MAHU KEADILAN UNTUK ADIB*

_*Assalamualaikum WBT*_

_*26 Muharram 1441H/26 September 2019*_

*ISMAIL SABRI YAAKOB*

*KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA*

*NAIB PRESIDEN UMNO*

1. Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mencipta sejarah perundangan di dalam Negara kita apabila menjadi Peguam Negara pertama Malaysia yang akan dihadapkan ke mahkamah di atas kesalahan menghina mahkamah.

2. Ini berikutan dengan keputusan Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam, Puan Rofiah Binti Mohamad memutuskan bahawa terdapat prima facie bahawa Peguam Negara telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah.

3. Ini merupakan sejarah hitam kepada sistem perundangan Negara dan peristiwa malang kepada komuniti perundangan seluruh negara. Keputusan terhadap Peguam Negara ini sangat memalukan kerana Peguam Negara bukan sahaja individu malah institusi yang sepatutnya mengangkat martabat perundangan di Malaysia.

4. Tindakan Peguam Negara di dalam mencampuri urusan mahkamah sewaktu perbicaraan inkues telah menyebabkan bapa Adib iaitu Encik Mohd Kassim Bin Abdul Hamid membuat permohonan untuk kebenaran (leave) memulakan prosiding terhadap Peguam Negara dan mahkamah telah membuat keputusan membenarkannya.

5. Sebenarnya Peguam Negara yang telah mengarahkan satu inkues diadakan berdasarkan Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengenal pasti punca kecederaan Adib dan juga punca kematian Adib walaupun pihak polis sebelumnya telah menjalankan siasatan, membuat tangkapan di bawah kanun keseksaan untuk cubaan membunuh. Malah Timbalan Ketua Polis Selangor setelah Adib meninggal, telah membuat kenyataan bahawa kes ini akan dipinda dan disiasat di bawah kes membunuh. Namun Peguam Negara telah mengarahkan inkues walaupun polis telah menjalankan siasatan. Walaupun tidak salah dari segi undang-undang namun rakyat hairan kepada tindakan tersebut seolah wujud sesuatu yang luar biasa. Rakyat mula sangsi kepada sikap berkecuali Peguam Negara di dalam kes Adib ini.

6. Namun sikap Peguam Negara lebih terserlah apabila perbincangan inkues berjalan di Mahkamah Koroner Shah Alam.

7. Sikap Peguam Negara jelas apabila mengeluarkan arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menamatkan khidmat Peguam Shazlin Mansor yang mewakili KPKT, JBPM dan keluarga Adib dengan alasan terdapat konflik kepentingan (conflict of interest). Alasan ini sangat diragui kerana sejak hari pertama Puan Shazlin Mansor mewakili keluarga mereka di mahkamah tidak ada sebarang bantahan daripada Peguam Negara. Hanya setelah lebih 4 bulan dan saksi ke-29 memberi keterangan barulah isu conflict of interest ini ditimbulkan.

Sebenarnya, isu ini timbul apabila Puan Shazlin Mansor dilihat mempunyai pendirian yang berbeza dengan Peguam Negara di dalam pengendalian kes terutamanya pendirian mengenai punca kematian Adib.

8. Pendirian Peguam Negara menjadi lebih jelas apabila pihak Peguam Negara telah mengikrarkan di dalam affidavit bertarikh 3 April 2019 melalui Tuan Hamdan Bin Hamzah iaitu Mantan Ketua Pegawai Pengendali Inkues berkenaan bahawa “kecederaan yang dialami oleh si mati yang membawa kepada kematian si mati apabila dilihat secara keseluruhan, bukanlah kecederaan akibat dipukul”.

Maka adalah jelas bahawa Peguam Negara telah membuat pendirian sendiri tentang punca kematian Adib sejak dari mula lagi seperti menolak hasil siasatan polis, menyingkirkan Puan Shazlin Mansor yang dilihat berpotensi menghalang tindakan beliau malah cuba mempengaruhi mahkamah untuk membuat keputusan dengan mengikrar di dalam affidavit tentang punca kematian tersebut.

Sebelum Mahkamah Koroner membuat keputusan, punca kematian masih dianggap ‘unknown’. Hanya setelah mendengar semua saksi, barulah mahkamah akan membuat keputusan. Maka tindakan Peguam Negara membuat pendirian dan keputusan pra matang dengan mendahului mahkamah adalah satu tindakan yang boleh dianggap sebagai subjudice malah menghina mahkamah.

Tindakan Peguam Negara boleh dianggap sebagai cuba mengganggu perjalanan mahkamah. Tindakan Peguam Negara juga boleh dianggap sebagai mempengaruhi mahkamah. Malah tindakan Peguam Negara ini juga boleh dianggap sebagai menghalang keadilan yang cuba ditegakkan oleh mahkamah.

Peguam Negara bukan sahaja individu malah sebagai institusi yang berperanan menegakkan kedaulatan undang-undang di Malaysia namun Peguam Negara bertindak sebaliknya.

Tindakan ini menjadikan Peguam Negara sudah tidak layak menjawat jawatannya sebagai Peguam Negara. Jika Peguam Negara seorang yang mempunyai maruah dan berintegriti, maka Peguam Negara perlu secara sukarelanya meletakkan jawatan atau YAB Perdana Menteri harus menasihati YDP Agong untuk memecat Peguam Negara.

_*Esok kes inkues ini akan diputuskan oleh mahkamah. Rakyat menunggu keputusan ini samada Adib meninggal dunia akibat dipukul atau sebaliknya. Kita amat berharap agar mahkamah membuat keputusan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh tindakan-tindakan Peguam Negara atau mana-mana pihak sekalipun.

Keadilan kes Adib benar-benar menguji kebebasan mahkamah. Rakyat mahu keadilan ditegakkan.*_

_*Rakyat mahu kematian Adib mendapat pembelaan sewajarnya oleh sistem perundangan kita. Sama-sama kita doakan agar mahkamah membuat keputusan yang terbaik.*_

*DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB* _Ketua Pembangkang_

Categories: Politic