TUN M : UMNO SERTAI BERSATU – SATU TINDAKAN TERDESAK

*TUN M : UMNO SERTAI BERSATU – SATU TINDAKAN TERDESAK*

Assalamualaikum WBT
3 Zhulkaedah 1440H/6 Julai 2019

*ISMAIL SABRI YAAKOB*
*KETUA PEMBANGKANG MALAYSIA*
*Naib Presiden UMNO*

Kekuatan gabungan UMNO-PAS melalui “Perpaduan Ummah” dan permuafakatan antara dua parti dilihat telah menggerunkan Pakatan Harapan.

Apabila semakin hari ikatan Perpaduan Ummah semakin erat, hari ini Perdana Menteri telah menyeru ahli UMNO dan Melayu sertai Bersatu.

Saya setuju perpecahan yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan perjuangan peribadi sehingga Melayu berpecah kepada 6 parti. Tetapi jika kita lihat hari ini, kebersatuan UMNO-PAS semakin kuat sehingga pihak yang menentang berasa lemah dan terpaksa mencari bantuan sokongan serta beretorik menggunakan nama ‘Melayu’.

Perjuangan Bersatu yang kita lihat pada hari ini tidak ikhlas dalam memperkasakan bangsa Melayu yang telah diperkotak-katikkan oleh DAP sehingga Bersatu gagal mengangkat bangsa Melayu/Bumiputera itu sendiri.

Sehubungan itu, UMNO-PAS pastinya tidak akan melutut setelah kami berjuang habis-habisan untuk mempertahankan Agama Islam, Bangsa Melayu/Bumiputera dan Tanah Air.

Gabungan UMNO-PAS merupakan parti Melayu terbesar iaitu menguasai undi Melayu sebanyak 75% di dalam PRU-14. Manakala PPBM hanya memperolehi 10% pengundi Melayu.

Maka adalah wajar PPBM menyertai UMNO, bukan sebaliknya. Lebih-lebih lagi PPBM merupakan parti serpihan dari UMNO.

Tindakan Tun M ini juga dilihat sebagai tindakan terdesak PPBM akibat kegagalan PPBM menarik sokongan orang Melayu untuk menyertai PPBM dan meninggalkan UMNO.

Setakat ini difahamkan tiada cawangan-cawangan UMNO dibubarkan akibat ahli-ahlinya menyertai PPBM. Malah difahamkan hampir keseluruhan cawangan-cawangan PPBM tidak cukup ahli untuk mengadakan mesyuarat cawangan-cawangan.

Selagi ada UMNO selagi itulah orang Melayu akan terus menyertai parti UMNO dan tidak parti lain.

Jadi sekali lagi saya katakan bukan UMNO yang sepatutnya menyertai PPBM tetapi ahli PPBM menyertai UMNO atau PPBM bersama-sama UMNO menyertai penyatuan UMMAH bersama PAS bagi menyatupadukan dan memperkasakan umat Melayu Islam.

*DSIS*

Categories: Politic